
Wajib tanya soalan-soalan ni sebelum kahwin.
January 29, 2026

Perkahwinan merupakan antara salah satu ‘big life decision’ yang mengubah hidup seseorang, dan bukan sahaja hidupnya sendiri bahkan keluarga, kerana perkahwinan dalam Islam antara tujuannya adalah untuk merapatkan silaturahim antara dua keluarga. Setiap keputusan yang dibuat, samada ketika proses pencarian, perkenalan hingga ke nikah dan alam perkahwinan menjadi faktor samada rumahtangga yang dibina akan dipenuhi dengan ketenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya.
Proses pencarian dan perkenalan memainkan peranan yang amat penting kerana ianya titik permulaan sebuah hubungan antara seorang lelaki dan wanita. Untuk memastikan orang yang ditemui merupakan calon yang terbaik, mampu untuk menjalankan tugas sebagai seorang suami/isteri dan ‘sekufu’ antara satu sama lain, soalan-soalan yang spesifik harus ditanyakan untuk mengelakkan masalah dalam hubungan rumahtangga pada masa yang akan datang.


Looking for your soulmate?
You won’t find your soulmate on this blog post but you might find them on Muzz - the world’s biggest Muslim dating and marriage app.
Ini merupakan antara soalan yang WAJIB ditanya kepada bakal pasangan ketika proses berkenalan untuk ‘identify’ samada calon tersebut sesuai untuk diri anda atau tidak;
1. Kefahaman & matlamat ber-rumahtangga
Ramai orang terlepas pandang untuk tanyakan soalan ini ketika proses berkenalan kerana merasakan bahawa semua orang mempunyai jawapan yang sama. Namum, setiap manusia dijadikan berbeza-beza dan bila kita dapat identify diri sendiri dan calon punya kefahaman dan matlamat untuk berkahwin, kita dapat mengetahui samada matlamat membina sebuah hubungan itu sama atau tidak.
2. Tempat tinggal selepas kahwin.
Tahu tak, antara faktor terbesar perceraian adalah kerana bergaduh tentang tempat tinggal selepas berkahwin kerana ia tidak dibincangkan semasa proses berkenalan. Ada kalanya, seseorang itu berfikiran bahawa selepas kahwin akan ada rumah sendiri, tetapi ada yang sudah sedia plan untuk duduk di rumah keluarga untuk mudah menjaga ibu bapa. Dengan bertanya soalan yang penting ini, bakal pasangan dapat mengelakkan salah faham dan pergaduhan pada masa akan datang. Tiada yang salah dan betul, kedua pasangan haruslah berbincang dan bersetuju apa yang kedua-duanya selesa. Sebagai contoh, si lelaki ingin duduk di rumah keluarga untuk memudahkan menjaga ibu ayah, tetapi si wanita ingin duduk di rumah sendiri. Perbincangan boleh berkembang menjadi; mereka ada rumah sendiri tapi berhampiran dengan rumah keluarga pihak lelaki untuk memudahkan si lelaki menziarahi ibu ayahnya dan membantu ibu ayahnya jika ada kecemasan.
3. Tanggungjawab suami/isteri dalam rumahtangga.
Meskipun Islam telah tetapkan tanggungjawab suami dan isteri, namun hal ini juga harus dibincangkan antara pasangan dalam proses berkenalan. Hal ini kerana, setiap orang dibesarkan dan dididik dari keluarga dan ibu bapa yang berbeza. Mungkin si wanita terbiasa ada ayahnya yang menguruskan semua hal rumahtangga seperti memasak dan mengemas rumah tetapi si lelaki dibesarkan dalam keluarga yang ibunya adalah suri rumah yang menguruskan semua urusan rumahtangga. Jadinya dengan berbincang tanggungjawab masing-masing dalam rumahtangga, anda dapat kenal pasti samada calon yang ada berkenalan mampu untuk menggalas tanggungjawab yang wajib dan boleh bertolak ansur atau tidak untuk beberapa bahagian dalam urusan rumahtangga. Mungkin dalam perbincangan tersebut anda boleh senaraikan dan tetapkan siapa yang akan bertanggungjawab untuk urusan apa dan kemudian boleh juga bincangkan sekiranya ada yang tak mampu diuruskan, apa ‘back-up’ plan yang akan dilakukan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Nampak macam agak rumit dan teliti untuk bincangkan terus hal ini, tapi ia akan memudahkan anda pada masa yang akan datang.
4. Penjagaan & pendidikan anak
Sama seperti isu yang ditanyakan sebelum ini, setiap orang dibesarkan dengan cara yang berbeza-beza, maka, ‘parenting technique’ juga akan berbeza. Oleh kerana anak merupakan tanggungjawab bersama, pasangan perlu membincangkan ‘parenting style’ yang mereka selesa gunakan ketika menjaga dan mendidik anak suatu hari nanti. Antara soalan yang akan muncul disebalik pertanyaan ini adalah, “siapa yang akan menjaga anak sekiranya kita berdua bekerja; hantar ke pengasuh atau bagaimana?”, “apa style mendidik anak kalau anak buat salah?”, “ketika pembesaran anak, adakah kita perlu ada pengasuh/ penjaga untuk bantu dalam hal pengurusan rumah?”, “apa pandangan awak tentang pukul anak sekiranya anak melakukan silap?”, “kalau anak sakit, apa yang awak akan lakukan?”, “Apa pandangan awak dengan didikan awal tentang agama untuk anak?’ Ada yang ingin menjadi ‘hands on parent’ yang bermaksud dia ingin hadir dan menjaga anaknya sepenuhnya dan ada yang masih ingin membina kerjaya dan memerlukan bantuan pengasuh. Sekali lagi, tiada keputusan yang salah, hanya perlu berbincang antara satu sama lain.
5. Urusan kewangan keluarga
Dalam Islam, telah dinyatakan bahawa urusan kewangan merupakan tanggungjawab suami. Tapi zaman kini, kedua suami isteri bekerja dan ada pasangan yang bersetuju untuk ‘share’ tanggungjawab urusan kewangan. Sebagai contoh, si suami akan uruskan pembayaran berkaitan rumah, bil api, bil air dan sebagainya dan si isteri akan uruskan pembelian barang dapur. Namun, ada pasangan yang bersetuju untuk si suami uruskan semua urusan kewangan rumahtangga dan si isteri perlu menguruskan hal urusan rumah dan anak sahaja. Ini berbalik semula kepada soalan “tanggungjawab suami dan isteri”. Sekiranya pasangan telah bersetuju tanggungjawab masing-masing, masalah berkaitan kewangan dapat dielakkan. Antara penyebab kes perceraian berlaku adalah kerana tanggungjawab dan pengurusan kewangan keluarga kerana tidak ditetapkan sebelum berkahwin. Bila dah kahwin, bergaduh kerana “sepatutnya awak yang bayar ni”, “asyik saya je kena hulur duit”, “saya punya gaji banyak ni je, tapi awak minta lebih” “saya punya tanggungjawab nafkah sediakan tempat tinggal, yang lain tu awak kena buat sendiri”. Bila telah tetapkan ‘guideline’ dan telah bincangkan kemampuan kewangan masing-masing, InsyaAllah, masalah berkaitan ini dapat dielakkan.
Soalan yang selebihnya adalah;
- Bagaimana cara mengatasi masalah/konflik
- Apa ‘love language’ yang bakal pasangan inginkan
- Apa ‘attachment style’ bakal pasangan
- Apa ‘life goals’/ impian dalam hidup
- Masalah kesihatan dan/atau sejarah kesihatan keluarga
- Perkara yang tidak disenangi (pet peeves)
- Batas (boundaries)
Di sebalik setiap soalan yang ditanya, tiada jawapan yang salah mahupun betul. Setiap pasangan perlu berbincang bersama dan sekiranya ingin teruskan hubungan ke arah perkahwinan, perlulah dibincangkan dan tetapkan solusi untuk setiap urusan untuk mengelakkan masalah timbul pada masa yang akan datang.

